#PWM2017 - Lawatan Ke Kompleks Kraf Malaysia & Ice-Watch

Posted On: 05 May 2017

Aktiviti bagi finalis Pencarian Wanita Melayu 2017 bermula cukup padat seawal minggu ini. Pada 3 Mei (Rabu) kesemua peserta berkumpul di Kompleks Kraf Kuala Lumpur bagi melakukan beberapa aktiviti yang sudah dirancang awal. Di sini, kesemua peserta diuji kebolehan memasak menu yang sinonim dengan orang Melayu seperti Sambal Belacan dan Sambal Kelapa. 

Peserta dibahagikan kepada 3 kumpulan berbeza dan di sini setiap satu daripada mereka akan diuji secara individual. Juri-juri yang diwakili wakil Kraftangan Malaysia melakukan penilaian bagi setiap peserta dari segi komitmen, personaliti dan rasa makanan yang dihidangkan.

Tiga peserta paling menyerlah iaitu Syazalia Roslan, Nurul Ain Nasiron dan Norafiza Mohd Jami menjadi peserta dengan markah tertinggi bagi tugasan pertama ini. Aktiviti berterusan dengan jamuan makan tengah hari yang disediakan pihak Kompleks Kraf Kuala Lumpur.


Sesi fitting bagi pakaian yang akan diperagakan pada acara final yang akan berlangsung Sabtu ini diteruskan selepas sesi jamuan tengah hari. Setiap peserta diberi busana berbeza yang direka oleh pereka berasal dari England - Zandra Rhodes sepenuhnya dengan rekaan berbeza dan diberikan kepada peserta mengikut kesesuaian. 

Aktiviti hari kedua diteruskan pada 4 Mei (Khamis) dengan lawatan rasmi ke ibu pejabat Ice-Watch Malaysia yang berlokasi di Ampang Point. Peserta dibawa mengenal lebih dekat dengan jenama jam yang cukup terkenal ini. Buat pengetahuan umum kesemua peserta akan menggayakan jam tangan Ice-Watch bagi salah satu sesi peragaan acara final dengan persalinan busana daripada jenama Parca.